Saturday, October 31, 2015

Ukhuwah Fillah Abadan Abada.

Assalamualaikum.
Bila jauh dari keluarga dan kawan-kawan baru aku faham apa maksud rindu dan macam mana rasanya rindu. Sambil melihat pemandangan di luar jendela, aku teringat akan sahabat-sahabat lamaku ketika aku di bangku sekolah. Sahabat yang suatu ketika dulu pernah menarik tangan ini tika aku hampir hanyut dengan dunia. Aku tidak nafikan mereka jugalah yang banyak mengubah dan mengajar aku dari seorang yang jahil dan kini lebih mendekati Allah. Alhamdulillah mungkin inilah yang dikatakan Ukhuwah Fillah Abadan Abada iaitu persahabatan yang terjalin kerana Allah untuk selama-lamanya (InsyaAllah).

Apabila penghuni Syurga telah masuk ke dalam Syurga, lalu meraka tidak berjumpa dengan sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu ketika di Dunia, lalu mereka bertanya tentang sahabat mereka kepada Allah s.w.t. 'Ya Rabb.. Kami tidak melihat sahabat-sahabat kami yang sewaktu di Dunia, yang solat bersama kami, puasa bersama kami dan berjuang bersama kami.'
 Maka Allah s.w.t berfirman:
'Pergilah ke Neraka dan carilah sahabatmu yang dihatinya ada Iman walaupun hanya sebesar zarrah.'
(HR. Ibnul Mubarak dalam kitab "Az-Zuhud")

Al-Hasan Al-Bashri berkata:
'Perbanyaklah sahabat-sahabatmu Mu'min-mu, kerana mereka mempunyai syafa'at pada hari kiamat.'


Walaupun sekarang masing-masing sedang sibuk mengejar cita-cita dan impian, terpisah jauh dan susah untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama seperti dulu tapi kita masih mengambil berat antara satu sama lain disamping mendoakan kebahagian dan kesejahteraan bersama.

Ciri-ciri persahabatan kerana Allah:
1. Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungimu.
2. Jika engkau merapatkan persahabatan, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.
3. Jika engkau perlukan pertolongan, dia akan membantumu.
4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan, dia akan menerima dengan baik.
5. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik darimu, dia akan menutupnya.
6. Jika datang sesuatu bencana kepadamu, dia akan meringankan bebanmu.
7. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu.
8. Jika kamu berdua berselisih faham, dia akan lebih senang mengalah untuk persahabatanmu. 

Video pendek kenang-kenangan bersama sahabat tersayang yang ingin aku kongsikan bersama:


Semoga persahabatan kita ini kekal hingga ke akhirat. Amin. InsyaAllah.